DANA PENGAJIAN TINGGI TIC OUTREACH AGEN PERUBAHAN KEPADA MASYARAKAT

DANA PENGAJIAN TINGGI TIC OUTREACH AGEN PERUBAHAN KEPADA MASYARAKAT

Seminar Ready Jobs and Businesses (RJB) Lepasan SPM yang telah diadakan pada Jumaat, 22 April 2016 merupakan satu pencapaian yang berimpak besar bagi TAJ International College (TIC), Ipoh, Perak. 150 peserta dari Kedah dan Perak telah memeriahkan seminar ini yang telah berlangsung dari jam 9.00 pagi sehingga jam 5.00 petang di Dewan Bankuet, TIC serta kerjasama yang terbaik daripada Pengerusi Majlis Guru Kaunseling Daerah Kuala Muda Yan, Kedah (KMY) bagi memastikan pembangunan pendidikan anak-anak didikan mereka dapat dinaiktaraf.

Seminar percuma yang telah dianjurkan buat kali kelapan ini adalah khusus bagi lepasan SPM untuk mempersiapkan diri sebelum melangkah masuk ke alam pendidikan pengajian tinggi. Para peserta telah didedahkan dengan kupasan isu semasa, halatuju pendidikan dan pekerjaaan, persediaan untuk pasaran kerja dan lain-lain topik yang bakal memberi cetusan minda khususnya buat barisan belia ini. Para peserta turut didedahkan dengan maklumat mengenai pembiayaan dana pendidikan dan biasiswa, serta kobolehpasaran mahasiswa selepas tamat pengajian.

Program ini telah dilaksanakan dalam beberapa agenda, antaranya;

1. Penyerahan Dermasiswa dan Zakat kepada pelajar TIC
2. Seminar Laluan Kerjaya dan Dana Pendidikan
3. Penyerahan surat niat dari industri (LOI)
– Pendidikan Awal Kanak-Kanak
– Pengurusan Kecantikan
– Automotif
4. Cabutan Bertuah
5. Pertandingan selfie
6. Surat amanat kepada peserta

Dana OUTREACH ini diberikan kepada semua kumpulan pelajar yang terkesan dengan masalah ekonomi yang berlaku pada masa kini. Pemberian dana ini bertujuan bagi membantu semua golongan, khususnya bagi mereka yang dari kumpulan sederhana dan kurang berkemampuan. Pemberian dana ini diharapkan dapat membantu mengelakkan masalah keciciran dalam pendidikan khasnya apabila melibatkan faktor kewangan. TIC turut mempunyai ramai rakan strategik seperti Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) yang dapat menyalurkan dana zakat kepada kumpulan Asnaf serta membantu dalam pemberian bantuan yuran pendaftaran pengajian.

“Usaha yang kami lakukan ini bertepatan dengan dasar pendidikan negara yang mahu melihat institusi pengajian tinggi untuk mencipta pekerjaan, bukan sekadar mencari pekerjaan. Seminar ini menekankan aspek keusahawanan dalam diri mahasiswa, ibarat sepohon pokok yang perlu dijaga sejak benih, sifat keusahawanan ini perlu diterapkan sejak dari awal pengajian” – Puan Tina binti Dato’ Seri Haji Tajuddin.

“Pelajar-pelajar khususnya lepasan SPM seharusnya didedahkan dengan kepentingan pengajian tinggi, pemilihan program yang tepat, dana pendidikan negara, serta kebolehpasaran kerjaya satu-satu program yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi. Hal ini kerana, kami khuatir mereka memilih laluan yang salah seterusnya merugikan masa depan mereka kelak” Mohd Rokhi Mudzin, Kaunselor dari SMK Seri Setia, Teluk Intan, Perak.

TIC mempunyai harapan yang tinggi untuk menjadi sebuah institusi pengajian tinggi yang prihatin kepada isu semasa dan menjadi agen perubahan dalam sistem pendidikan di Malaysia. Penglibatan pemain dalam industri korporat dan swasta bersama TIC turut dapat dilihat dalam menyalurkan tempat latihan industri dan pekerjaan kepada mahasiswa setelah tamat pengajian di TIC. Selari dengan dasar kerajaan RMK 11 dan Dasar Pendidikan yang terbaharu.